Powered By Blogger

Selasa, 19 Juli 2011

Bersyukur dengan nikmat Allah

AL-IMAM al-Bukhari, Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu olehnya iaitu, nikmat sihat dan masa lapang." Kisah yang dipaparkan ini dipetik dari buku Ihfazilllah Yahfazuka karya Dr 'Aidh al-Qarni. Suatu hari seorang lelaki miskin mengeluh: "Ya Allah! Engkau telah membuatku miskin, sedangkan Engkau membuat si polan kaya." Lalu dia pun tertidur dalam keadaan bersedih. Lelaki itu bermimpi bertemu dengan orang salih yang berkata kepadanya: "Wahai si polan, mahukah kamu menjual penglihatanmu kepadaku dengan harga seratus ribu dinar? Jawabnya: "Tidak." Lelaki itu bertanya lagi: "Mahukah kamu menjual kepadaku pendengaranmu, kaki dan tanganmu masing-masing berharga seratus ribu dinar?" Maka, dia pun menghitung-hitung harga yang disebutkan tadi. Lelaki itu berkata: "Maha suci Allah Sesungguhnya kamu memiliki ratusan ribu dinar, tetapi kamu tidak mensyukurinya dan kamu masih mengharapkan semoga Allah memberi rezeki kepadamu lagi? Maka, dia pun tersedar daripada tidurnya sambil menangis dan berkata: "Bagimu segala puji wahai Tuhanku." Bersyukur dengan nikmat sihat cukup membuat kita kaya raya sementara orang yang sakit hanya dicengkam ketakutan dengan soalan "siapa yang akan mewarisi hartanya itu?". Kita semua dijadikan sebagai makhluk yang miskin, lalai dan tidak memahami sesuatu pun, tetapi Allah menganugerahkan kita dengan harta, ilmu dan iman. Belum cukupkah itu semua untuk menjadikan kita hamba-Nya yang bersyukur? Hitunglah nikmat Allah pada setiap tarikan nafas dan hembuskannya dengan syukur yang tidak terhingga. Ingatlah ketika Rasulullah SAW bangun sembahyang pada waktu malam hingga bengkak kedua-dua kaki Baginda, padahal syurga berada di genggamannya dan kedudukan kekasih Allah menjadi sebutan baginya. Namun, tiada kalimah seindah sabda Baginda bermaksud: "Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku?"

Tidak ada komentar:

Posting Komentar